Powered By Blogger

Tuesday, 11 June 2013

Diari Setiausaha part 1






Borang yang tersesat
 Malam tu saya masih ingat. Kami beramai-ramai berkumpul di ruang tamu asrama sebab tengah sibuk siapkan assignment yang perlu dihantar esok. Masa tengah bising-bising berbincang tiba-tiba ada antara kami yang hulurkan borang pencalonan untuk perlantikan exco persatuan fakulti sesi ni. Saya tak pedulikan borang tu. Lagipun tak terfikir pun nak jadi exco atau ahli kepimpinan mana-mana persatuan selain hanya join persatuan tarbiyah pada masa tu. 

Lewat malam sebelum balik ke bilik, kawan saya pujuk saya untuk mengisi borang pencalonan memandangkan hanya tinggal satu lagi borang. Lagi pula, kawan-kawan sekelas semua tak mahu jadi calon untuk bertanding. Saya tolak mentah-mentah tawarannya. Tak terdetik dalam hati nak memimpin. Lagipun saya tak mahu menonjolkan diri. Sepanjang sem 1 hingga sem 2 masa tu, saya memang sangat pasif. Tak pernah menegur pelajar lelaki dalam kelas. Dorang pun tak pernah mahu tegur saya. Mungkin saya agak sombong. Tapi sebetulnya saya sangat malu walaupun hanya terpandang pelajar lelaki. Tapi tak mengapalah. Sekurang-kurangnya pergaulan saya terjaga. Saya hanya akan mesra dan mahu bercakap dengan kawan-kawan perempuan. Mungkin tabiat tu saya terbawa-bawa sejak belajar di matrikulasi. Tempat mula-mula saya kenal tarbiyah dulu.

Lepas siapkan kerja, borang pencalonan tadi masih tetap kosong tidak terisi. Kawan-kawan minta saya jadi calon. Saya berdalih untuk teruskan niat saya, tak mahu menonjolkan diri. Saya rasa tak layak. Lagi pula,saya rasa saya tak dikenali. Tak mungkin ada orang akan pilih saya sebagai pemimpin. Tapi lepas sorang kawan saya pujuk dan menjanjikan tak semestinya yang mengisi borang layak jadi exco, saya rasa tak salah sekadar isi dan hantar. Kesian pula ingatkan kawan saya sorang-sorang. Sekurang-kurangnya saya boleh temankan dia masa majlis perlantikan nanti. Nak tak nak saya setuju juga. Itupun saya masih ragu. Saya tengok borang pencalonan. Dah tak kemas dan agak kotor. Sebab dah melalui banyak tangan. Mungkin semuanya tolak dari jadi calon. Fikir saya. 

Malam tu sebelum tidur, saya isi maklumat-maklumat calon. Maklumat diri, pengalaman, jawatan lepas dan manifesto. Juga lekatkan gambar passport. Saya tarik nafas dalam-dalam. Hurm..ada sikit kesan kotoran di sebelah kanan borang ni. Dah tak kemas. Tengok borang pun dah tak cantik lagi. Takkan bakal pemimpin hantar borang comot kot. Confirm tak terpilih ni. Fikir saya.Tak apalah..belum tentu lagi jadi exco. Saya hanya tawakkal.Tapi bila mengingatkan borang pencalonan tu, saya jadi tak dapat nak tidur malam. Saya jadi gelisah. Malam tu saya bangun solat istikharah. Saya rasa saya tak berani nak buat keputusan sendiri. Perlu minta petunjuk dari Allah dulu..apa-apa pun Allah no. 1.

Tengah-tengah malam saya berdoa, mohon Allah bagi signal. Sekiranya betul keputusan saya, saya mohon ditunjukkan atau dimudahkan urusan dari awal hingga akhir. Sekiranya saya jadi pemimpin, niat saya, semoga saya boleh jadi contoh yang baik kepada orang lain. Boleh jadi dorongan kepada orang lain juga untuk tertarik pada agama dengan imej saya sebagai seorang Muslimah. Saya harap mereka faham mesej saya walaupun saya tak bersuara. Saya tahu saya banyak kekurangan untuk jadi contoh yang baik. Tapi kalau ini bukan pilihan terbaik, saya minta Allah susahkan jalannya dari awal. Hati saya tertunduk..air mata mengalir juga..huhu..tak tahu kenapa. Mungkin bagi orang lain, jawatan tu tak penting. Tak bagi kesan pada sesiapa. Tapi bagi saya, jawatan tu amanah. Amanah tu janji..jadi saya sangat risau. Hati saya sangat terkesan kalau tengok pemimpin dari sepenting-penting kepimpinan hingga sekecil-kecil kepimpinan seperti sekarang tak dapat nak bagi contoh yang baik untuk orang lain..saya rasa tak selamat..

Esoknya, kawan saya tolong hantarkan borang. Saya tawakkal saja. Dan pada hari yang sama saya hantar borang, malam lepas solat Maghrib, saya tertidur. Penat kerana seharian kuliah. Dalam pukul 8 lebih malam tu saya dapat pesanan dari senior saya untuk hadir ke AGM fakulti. Saya terkejut bukan main. Saya baru bangun tidur. Masih mamai. Saya tak expect pemilihannya secepat ni. Saya tak dapat maklumat apa-apa mengenai majlis ni. Cepat-cepat saya telefon kawan saya dan maklumkan hal ni sebab majlis sudah bermula sekarang! Saya sangat nervous  ~_~

Dewan Auditorium blok Akademik dah ramai dengan para pelajar fakulti dari pelajar Diploma dan Ijazah. Timbalan Dekan juga tengah berucap di pentas utama. Malam tu apa yang saya ingat hanya beberapa kerat ucapan dari Timbalan Dekan. Katanya dia sangat kecewa dengan kehadiran pelajar fakulti bila fakulti atau persatuan fakulti menganjurkan program, tiada sambutan dari para pelajar. Hanya itu yang saya mampu hadam. Yang lain sudah ditelan dek kerana cemasnya saya melihat begitu ramai pelajar! Ya Allah..kalau ini yang terbaik bagiku, maka permudahkanlah..

Bidan Terjun
Skrin dipapar dengan nama-nama calon yang bertanding. Saya tak perasan nama saya dan kawan-kawan sekelas yang bertanding tiada dalam senarai. Tiba-tiba saya dan dua orang lagi rakan sekelas yang menjadi wakil pelajar semester 2 Ijazah diberi borang pencalonan yang baru. Baru kami tahu borang yang dihantar ke fakulti tak sampai ke tangan exco. Jadi dalam keadaan kelam kabut, saya isi borang pencalonan yang baru. Dan kemudian nama kami dipaparkan di hadapan skrin. Oleh kerana calon yang bertanding sangat sedikit dan kerusi masih banyak yang kosong, jadi pencalonan terbuka kepada sesiapa yang mahu menjadi calon bidan terjun. Wahh~ saya sangat nervous. Inikah perasaan menjadi calon pilihanraya fakulti? Saya tak pernah rasa pengalaman ni di sekolah atau di matrik. Saya dulu hanya sekadar menjadi pemerhati yang baik -_-''

Tiba pula saat pencalonan, bermula dengan pencalonan YDP, tiga orang calon naik ke pentas. Dua darinya wakil Diploma dan seorang pelajar Ijazah. Mereka suarakan manifesto masing-masing. Saya hanya memandang kagum. Saya perlu berucap di hadapan ke ya Allah? Mereka sangat berkeyakinan. Ada karisma sendiri. Manifesto pula sangat panjang dan meyakinkan. Saya ingat, saya hanya tulis, ‘Saya akan berusaha manjalankan tanggungjawab dengan baik dan menjadi pemudah cara antara pelajar dan pensyarah.’ Titik.Itu saja. Pencalonan diteruskan sehingga terpilihnya calon YDP, Timbalan YDP 1 dan Timbalan YDP 2. Masing-masing dengan manifesto masing-masing.

Tiba pencalonan untuk Setiausaha. Saya tak tahu siapa yang mencalonkan nama saya. Saya kaget. Seluruh tubuh rasa sejuk. Ya Allah..permudahkan apa yang mudah bagiMu..hanya doa menemani hati. Saya naik ke pentas dengan tertib dan cuba nak bertenang. Nasib saya baik. Kerana kesuntukan masa, calon Setiausaha tidak perlu memberikan manifesto. Satu kelegaan bagi saya kerana tak perlu bercakap panjang. Dan saya tak mungkin mampu bercakap panjang masa tu. Keyakinan saya berada pada tahap paling minima. Saya masih ingat. Masa tu saya pakai jubah hitam dan bertudung labuh warna krim. Saya perhatikan exco-exco yang sedang bertugas. Mereka semuanya berpakaian smart casual. Hanya saya..seperti pelajar pengajian Islam sesat dalam majlis pencalonan pemimpin pelajar fakulti Informatik. Terasa rendah diri ini ya Rabbi..T_T

Dan kemudian tiba giliran saya berucap. Selawat sudah membasahi bibir sepanjang malam ini. Saya harap Allah berikan pertolongan. Saya perkenalkan diri dan course. Hanya itu seingat saya. Bahasa sudah bercampur-baur antara BM dan BI. Memang begitu bila saya sudah terlalu cemas. Saya dah tak perasan apa yang saya kata. Cuma yang saya ingat waktu tu, suasana seperti senyap kejap. Semua memandang ke hadapan. Ya Allah..semoga aku tidak pengsan di atas pentas ni kerana terlalu cemas. Selesai sesi memperkenalkan diri. Saatnya pemilihan calon. Terdetik dalam hati, saya pasti tak terpilih. Mereka percaya ke dengan kepimpinan si tudung labuh? Saya tawakkal saja. Dan akhirnya, selepas pengundian, saya tidak sangka..saya yang terpilih..ini mimpikah? Dan segala perjalanan telah berjalan dengan lancar. Terasa bebanan terpikul di bahu. Waktu tu saya hanya memikirkan pasal TANGGUNGJAWAB. Ya Allah..terasa berat bahuku…

Turun dari pentas..exco lelaki yang berada di hadapan saya memberikan saya laluan. Saya hanya tunduk. Tidak mampu lagi mengangkat muka. Ya Allah..ini ke yang Engkau mahu? Hati beristighfar dan berselawat lagi. Terasa berat bahuku ya Allah..permudahkanlah apa yang mudah bagiMu..hanya itu yang bermain di hati. Dan saya masih tetap dalam majlis perlantikan hingga selesai majlis. Sebelum balik, saya diberikan satu fail Setiausaha dari bekas Setiausaha persatuan. Saya masih ingat ucapan tahniah darinya dan peringatan yang mengatakan saya tak perlu risau dengan laporan Annual General Meeting (AGM) yang akan dihantar kepada HEPA ni sebab ada exco yang dah tolong buat. Dan bekas-bekas exco berulang-ulang kali bercakap di hadapan mengenai bajet persatuan sem lepas yang saya tidak tahu apa maksudnya. Saya hanya mampu tersenyum kelat. Laporan AGM? HEPA? Bajet? Apekah??? Loading..loading..loading..warning,system error, system error! -_-''

Bersambung…..

2 comments: